Saturday, December 18, 2010

Dunia hiburan tanah air memang mencabar. Ramai penyanyi yang timbul tenggelam. Tahun lepas RTM sekali lagi menggilap penyanyi baru, yang muda remaja, Nur Ernie.

Nur Ernie Shahirah Zakri, 18, tabah menghadapi beberapa dugaan didalam perjalan dia untuk mengukir nama sebagai seorang penyanyi. Gadis genit yang dilahirkan daripada program Bintang RTM 2009 ini sentiasa tabah dan tidak pernah kenal erti putus asa.

Sebaik selesai pertandingan Bintang RTM, anak jati Kuala Lumpur ini perlu menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selepas itu, dia dikehendaki mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Selesai latihan selama tiga bulan, Ernie menerima pula tawaran melanjutkan pengajian Diploma Seni Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.


  • Foto

  • Foto

    ERNIE bersama piala Bintang RTM 2009.

  • Foto


Biarpun sudah bergelar pelajar, juara Bintang RTM ini nekad untuk meneruskan perjuangannya sebagai penyanyi. Dugaan bagaimanapun sekali lagi menimpa apabila proses menyiapkan dua lagi lagu untuk dimuatkan dalam albumnya tergendala gara-gara kebakaran studio milik Alfa Booty Kesuma pada Syawal kedua yang lalu.

Mujur dua lagu berkenaan masih belum sempat dirakamkan menyebabkan syarikat rakaman yang menaungi Ernie iaitu Fantasia Music City (FMC) mencari lagu ganti, untuk dimuatkan dalam album sulung bakat baru ini.

“Memang banyak halangan dalam perjalanan awal untuk mencipta nama sebagai penyanyi. Tetapi semua itu tidak mematahkan semangat saya. Sekali sudah memulakan langkah dalam bidang ini, saya tak menoleh ke belakang. Saya perlu melipatgandakan lagi usaha.

“Saya beruntung berada di bawah FMC, yang sentiasa berusaha keras demi kerjaya saya. Kalau bergerak sendirian, mungkin tidak berada pada tahap ini,” kata Ernie yang tidak berhasrat menangguhkan pengajian semata-mata mahu memberikan tumpuan kepada nyanyian.
Kata gadis yang berkebolehan bermain biola ini, dua bidang yang diceburi dan dipelajarinya masih perkara yang sama. Justeru, dia berasakan tidak perlu menangguhkan pengajian hanya disebabkan nyanyian.

“Setakat ini belum terfikir lagi apa yang bakal mendatang kepada kerjaya nyanyian. Lagi pun, apa yang saya belajar ketika ini dan kerjaya yang saya ceburi ialah dua perkara yang sama. Karier nyanyian saya tidak mengganggu tumpuan pada pelajaran.

“Syarikat rakaman juga tidak terlalu mengikat pergerakan saya. Mereka memberi kebebasan kerana memahami status saya sebagai pelajar. Senanglah sedikit untuk saya membahagikan masa. Jadi saya tidaklah terfikir menangguhkan pengajian semata-mata nak menyanyi,” katanya.

Mengimbau rentetan pembabitannya dalam bidang nyanyian, bakat gadis yang mula menyanyi seawal usia lima tahun ini dicungkil daripada pertandingan Bintang RTM.

Ketika itu, hanya Bintang RTM saja yang membuka penyertaan kepada peserta dari umur 17 tahun ke atas. Pertandingan nyanyian lain rata-rata hanya menerima peserta berusia 18 tahun, menyebabkan Ernie memilih untuk mencuba nasib dalam pertandingan anjuran RTM.

Katanya, dia tidak meletakkan harapan tinggi supaya diterima menyertai pertandingan yang pernah melahirkan nama hebat seperti Allahyarham Datuk Sudirman, Jamal Abdillah, Ramlah Ram dan Datuk Siti Nurhaliza.

Ketika masih bersaing dalam pertandingan berkenaan, bakat Ernie diintai FMC, yang terus menghulurkan lamaran. Saat itu, Ernie berada pada peringkat separuh akhir.

Bersama FMC, Ernie sudah memiliki lagu Mahu Ingin Bercinta, Bicara Cinta dan Rindu Bukan Teman. Ketiga-tiga lagu itu kini sudah disiarkan radio terutama di stesen radio milik RTM. Bagaimanapun, Ernie kini berusaha untuk turut mempromosikan lagu-lagunya di stesen radio swasta dan sebahagiannya sudah mula menyiarkan lagu terbabit.

“Setakat ini saya bersyukur dengan perjalanan karier ini walaupun pada awalnya ada yang bertanya, siapa Ernie? Pada awal-awal dulu, ramai juga yang mempertikaikan kemunculan saya dalam bidang ini. Tapi kini alhamdulillah, kehadiran saya perlahan-lahan diterima oleh masyarakat,” kata Ernie.

Profil: Nur Ernie
Nama: Nur Ernie Shahirah Zakri
Umur: 18 tahun
Asal: Bangsar, Kuala Lumpur
Adik Beradik: Bongsu daripada dua beradik
Pendidikan: Sedang mengikuti pengajian Diploma Seni Muzik, UiTM.

Solekan: Deq Sha
Pakaian: Hazril Hisyam (012250566


Sources:

Tercapai impian
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2010/12/14

Note of appreciation to the paper Berita Harian, from which the post is taken.

0 comments:

Post a Comment